BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, March 14, 2011

18.2.2011, 2.50 petang, Taman Bernam

Kes kasut…

 
Hari ini aku tidak berkasut tutup ke kelas di Taman Bernam. Samapi sahaja di pintu masuk Taman Bernam, seorang pengawal wanita telah memanggil aku.
“ Ei!! Sini kejap”
Memang aku tahu aku telah melakukan kesalahan tetapi janganla ditegur dengan memanggil sedemikian rupa. Sepatutnya panggillah dengan panggilan yang betul seperti awak atau kamu. Memang aku tahu pengawal tersebut mahu tunjukkan ketegasan tetapi ketegasan itu perlulah menggunakan perkataaan yang betul. Tambahan lagi, terdapat ramai orang yang telah menyaksikan kejadian tersebut. Perasaan malu itu ada kerana aku ditegur di hadapan orang yang tengah lalu lalang di pintu masuk tersebut.

17.02.2011, 1.30 petang, Taman Bernam

Pak cik bas yang baik hati…

Panas sungguh hari ini. Malas rasanya mahu berjalan kaki dari  stesen bas Taman Bernam ke pintu pagar Taman Bernam. Kelas aku di sana sebenarnya. Nasib baiklah pak cik bas UPSI ini memahami aku dan rakan yang lain. Dia sanggup masuk ke dalam Taman Bernam semata-mata mahu menghantar kami semua ke kelas. Tidak pernah aku jumpa pak cik bas yang baik hati dan sanggup bersusah payah masuk ke dalam Taman Bernam yang sempit. Jika dibandingkan dengan pemandu yang lain, jangan haraplah kerana hanya menghantar di stesen bas sahaja. Aku amat berterima kasih kepada pak cik bas tersebut kerana dapat memahami perasaan aku dan rakan yang lain.

16.02.201, 5.30 petang, Pasar Malam Kolej Ungku Omar

Goreng pisang atau pisang goreng?

Kawan aku teringin sangat mahu makan pisang goreng. Jadi aku pun menemani dia membeli pisang goreng yang dijual di pasar malam KUO. Sampai sahaja di depan kedai yang menjual pisang goreng itu, mak cik itu pun bertanya:
“Mahu apa adik?”
“Mahu goreng pisang?”
“Mahu berapa ringgit?”
Kawan aku pun menjawab:
“Saya mahu pisang goreng dua ringgit”
Daripada perbualan di atas, terdapat kesalahan yang digunakan oleh mak cik tersebut, sepatutnya menyebut pisang goreng dan bukannya goreng pisang.


12.2.2011, 9 pagi, Kolej Harun Aminurrashid

Lagu penenang jiwa…

Pagi ini teringin pula mahu mendengar lagu nasyid. Aku memilih untuk mendengar lagu daripada Kumpulan In-Team yang bertajuk Rabiatul Adawiyah. Lagu ini banyak memberi pengajaran terutamanya kepada golongan wanita. Dalam lagu ini menceritakan Rabiatul Adawiyah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangannya harus dicontohi oleh wanita Islam pada hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya dia memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup. Berikut merupakan sebahagian lirik lagu tersebut:

Rabiatul Adawiyah
Serikandi yang tercipta
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi ikhtibar

Asmaramu dihampar suci
Pintalan dari awanan putih
Membuahkan titisan rahmat
Menyuburkan mawar yang layu

Namamu menjadi sanjungan
Ikutan ummah sepanjang zaman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah